COLOMBO – Sri Lanka akhirnya berjaya memecahkan rekod dunia menerusi pokok Krismas yang tertinggi, meskipun ukurannya terpaksa direndahkan sedikit ekoran kelewatan pembinaannya.

Pada asalnya ia dirancang untuk berketinggian mencecah 100 meter, namun akhirnya perlu ‘dipangkas’ lebih rendah sedikit, kata seorang pegawai kerajaan negara pulau Asia Selatan itu, kepada agensi berita antarabangsa AFP.


Atlet kriket terkenal Sri Lanka, Arjuna Ranatunga, menjadi individu di sebalik usaha pembuatan pohon Hari Natal saiz raksasa tersebut dengan mencatatkan ketinggian 73 meter, iaitu 18 meter lebih tinggi daripada rekod lama.


Walaupun demikian, pembuatan pokok buatan manusia itu dikritik teruk oleh pihak gereja Katolik Sri Lanka yang menyatakan wang dibazirkan untuk projek mega tersebut adalah lebih baik disumbangkan kepada golongan miskin.






“Akibat adanya penolakan keras itu, rancangan pembuatan pohon ini tertunda selama 10 hari,” kata koordinatornya, Mangala Gunasekera. Kos pembinaannya dianggarkan menelan sebanyak 12 juta rupee (kira-kira RM360,000).


Susulan bantahan tersebut menyebabkan pihak penganjur kemudian memutuskan untuk memangkas tinggi pohon Krismas berkenaan agar menjadi lebih 50 meter semata-mata untuk mengatasi rekod dunia dan bukan 100 meter.


Pada pagi 24 Disember, pokok tersebut akhirnya berjaya didirikan di pinggir pantai di ibu kota Sri Lanka, Colombo sekali gus menceriakan sambutan perayaan terbesar penganut Kristian di negara itu menjelang hari keesokannya.


Menurut Mangala, pohon dihiasi 600,000 lampu warna-warni itu adalah lebih tinggi berbanding pokok Natal buatan yang pernah didirikan di bandar raya Guangzhou, China, pada akhir tahun lalu dengan hanya 55 meter.






Rekod terbaharu itu disahkan pihak Guinness World Records yang berpusat di Amerika Syarikat. Terdapat patung ikonik Santa Claus dengan kereta luncurnya serta sebutir bintang di puncak pokok tersebut setinggi enam meter.


Dalam pada itu, Arjuna yang pernah memimpin skuad kriket Sri Lanka meraih juara dunia 1996, menjelaskan bahawa projek tersebut sebagai simbol kesatuan antara kepelbagaian agama yang lama wujud di negara berkenaan.


Namun Gereja Katolik Sri Lanka menyifatkan projek itu sebagai boros sebelum ‘menerimanya’ susulan Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe berbincang langsung dengan Uskup Agung Colombo, Malcolm Ranjith.


Sri Lanka adalah sebuah negara yang majoriti besar penduduknya menganut ajaran Buddha, tetapi daripada 21 juta warganya itu dianggarkan ada sekitar 1.2 juta orang yang beragama Katolik.






– Agensi/Mynewshub.cc/HAA