DHAKA – Enam lelaki bersenjata dipercayai militan Daesh berjaya dibunuh manakala 13 tebusan, termasuk tiga warga asing, berjaya diselamatkan dalam operasi polis di sebuah restoran di ibu kota Bangladesh yang diserang.


Demikian menurut laporan saluran televisyen India, Times Now. Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang restoran yang terletak di kawasan banyak kedutaan malam Jumaat dan menahan sekitar 20 tebusan, termasuk warga asing.
Polis Bangladesh kemudian berjaya menyerbu bangunan itu untuk menyelamatkan semua tebusan. Sekurang-kurangnya dua pegawai polis dibunuh manakala 20 lagi pegawai polis lain cedera, menurut pihak berkuasa.

Kumpulan pengganas antarabangsa Daesh mendakwa mereka sebagai bertanggungjawab atas serangan nekad berdarah tersebut, yang dilancarkan di sebuah restoran terkenal warga asing dalam kawasan diplomatik Gulshan.
Kejadian tembak-menembak dengan lelaki-lelaki bersenjata itu, yang dipercayai adalah anggota militan Daesh tempatan; di restoran Holey Artisan Bakery tersebut diisytiharkan secara rasmi sebagai sudahpun berakhir.










Seorang jurugambar agensi AFP di tempat kejadian berkata, dia mendengar bunyi tembakan yang kuat ketika pasukan keselamatan melancarkan operasi menyelamat, lebih 10 jam selepas militan menahan puluhan tebusan.

Lima tebusan warga Bangladesh diselamatkan dalam masa beberapa minit operasi dilancarkan dan seorang pegawai keselamatan memberitahu wartawan AFP: “Mereka berjaya diselamatkan dan tidak diapa-apakan.”
Polis menyatakan, kumpulan lelaki bersenjata menyerbu masuk ke restoran itu sambil menjerit kata-kata keagamaan ketika pelanggan sedang menjamu selera sekitar pukul 9.20 malam ( atau 11.20 malam waktu Malaysia).

Duta Itali, Mario Palma memberitahu saluran televisyen Itali bahawa tujuh warga Itali dalam kalangan para tebusan itu. Kerajaan Jepun pula menyatakan sesetengah rakyatnya mungkin antara yang ditahan penganas terbabit.

“Mereka tidak mahu berunding. Ia misi bunuh diri,” kata Palma sambil mendedahkan, kumpulan penyerang tersebut bertindak melepaskan bahan letupan sejurus mereka memasuki restoran berkenaan.










Sesetengah pelanggan berjaya melepaskan diri lebih awal termasuk seorang cef warga Argentina dan lelaki Bangladesh yang dikatakan bersembunyi di dalam sebuah bangunan yang bertentangan.

Namun pihak polis Bangladesh menyatakan masih ada sebilangan orang yang terperangkap dalam restoran berkenaan selama berjam-jam selepas serangan berdarah tersebut dilancarkan oleh pengganas.

Agensi berita Amaq yang dikaitkan dengan rangkaian militan Daesh menyatakan kumpulan itu memang bertanggungjawab atas serangan tersebut dan “lebih 20 orang daripada pelbagai kerakyatan sudah dibunuh.”
Ia kemudian mengirimkan sejumlah gambar yang menurutnya dirakamkan mereka ketika berada dalam restoran berkenaan sepanjang penawanan sebelum pasukan keselamatan menggempur membebaskan tebusan.

Gambar-gambar eksklusif tersebut, yang belum lagi dapat dipastikan kesahihannya, kelihatan seperti sebilangan tubuh terbujur kaku dengan kesan berlumuran darah.


Agensi/Mynewshub.cc/HAA