Pernah makan makaroni goreng? Apa kata anda cuba resepi istimewa makaroni sup kegemaran anak saya ini. Resepi ini saya reka sendiri sahaja berdasarkan sedap mulut yang memakan. Bahan-bahan dia kalau tidak cukup semua pun masih sedap.

Kalau ada kobis bunga, boleh potong kecil campur sekali untuk buat tambah sayuran. Kalau nak guna ayam dan daging kisar pun boleh. Kalau nak buat tanpa ayam dan daging pun boleh, tetapi kena letak seketul stok ayam, baru naik rasa.

Kalau nak pedas lebih, lebihkan cili boh. Kalau nak masam sikit, lebihkan tomato puree. Kalau tidak ada tomato puree dan tomato sos, boleh guna sos sphegetti prego, tetapi cairkan sedikit kuah tu dengan lebihkan air.

Kalau beli rempah italian herbs mckormick memang mahal. Saya cadangkan anda beli rempah bungkus daun origano, daun parsli dan thyme. Bukan dalam bentuk serbuk tetapi daun yang dipotong halus. Lebih jimat cara ni. Anda cuma perlu ada bekas untuk simpan campuran rempah ini. Jika ada botol bekas Mckormick yang lama tu, boleh simpan campuran rempah dalam botol tu. Apa nak buat jika tiada rempah ratus Itali ni di rumah? Tidak ada masalah, boleh masukkan rempah sup biasa satu cubit.

Sup ini sangat sesuai dimakan pada waktu malam dan waktu cuaca sejuk. Kalau orang demam selsema makan ni sesuai kerana deria rasa dan selera makan sudah kurang. Bila rasa masam tu baru naik selera.

Makaroni Sup Tomato


Sediakan bahan-bahan berikut:
Makaroni sebungkus
Ayam setengah ekor
1 biji bawang kuning besar
1 biji bawang merah
1 biji bawang putih
Italian Herbs Mckormick atau
Rempah campuran origano, parsli dan thyme
2 biji tomato
1 biji lobak merah
1/2 biji capsicum
1 batang daun salari
Tomato sos magee
Tomato puree

Makaroni


Cara masak:


  1. Jerang air dalam periuk
  2. Masukkan garam secubit dan sedikit minyak supaya tidak melekat
  3. Tunggu sehingga air mendidih
  4. Masukkan makaroni sebungkus
  5. Tunggu 3 hingga 5 minit
  6. Angkat makaroni apabila sudah cukup lembut
  7. Toskan


Tomato Sup


Cara masak:


  1. Potong ayam kecil-kecil, tidak perlu kisar
  2. Potong dadu tomato, lobak merah, daum salari dan capcicum
  3. Kisarkan bawang kuning, bawang merah dan bawang putih
  4. Panaskan minyak dalam periuk
  5. Tumis bawang sehingga kuning
  6. Masukkan rempah campuran italian herbs
  7. Masukkan cili boh jika anda suka pedas
  8. Masukkan ayam dan gaulkan sekali sekala supaya masak sama rata.
  9. Biarkan ayam sehingga masak dalam masa 10-15 minit
  10. Masukkan setengah botol sos magee
  11. Masukkan 3-4 sudu besar tomato puree jika anda suka sup pekat dan masam sedikit
  12. Apabila campuran sudah sebati dan wangi, boleh masukkan air sehingga penuh periuk
  13. Apabila sup sudah mendidih boleh masukkan sayuran yang sudah dipotong dadu
  14. Tunggu sehingga 10-15 minit sehingga sayuran masak dan lembut
  15. Masukkan garam dan gula secukup rasa



Hidangan


Ingat, jangan campurkan makaroni dalam sup. Kembang nanti tak sedap. Cuma campurkan apabila hendak makan. Boleh taburkan serbuk keju jika ada. Yang penting makaroni sup mesti dihidangkan masa panas, baru sedap menjamu selera.

Selamat mencuba!

sumber: http://kongsimyresepi.blogspot.com/2...-istimewa.html