wankj

‘Bukan anak kambing’

Rate this Entry
Alor Setar: “Anak saya bukan anak kambing,” kata Johan Eusoffe Abdullah, 45, yang kesal apabila pihak berkuasa gagal mendakwa pemandu van yang menyebabkan kematian anaknya serta dua rakannya dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Kampung Padang Gaung, Langkawi, Jun tahun lalu.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam, Yasmin, 17, bersama dua rakannya, Nur Hazwani Mansor, 16, dan Nur Afiqah Aaina Ridzwan, 16, mati serta-merta di tempat kejadian selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah van pelancong.

Johan berkata, dia kesal kerana sehingga kini pihak berkuasa gagal mendakwa pemandu van berkenaan ke muka pengadilan walaupun kes itu sudah berlaku lebih setahun lalu.

“Saya reda dengan pemergian anak saya bagaimanapun terkilan kerana pihak polis tidak pernah memaklumkan kepada saya status siasatan selepas enam bulan keterangan saya diambil. Ini bukan kes langgar kambing, tetapi anak saya.

“Selepas kejadian kemalangan lebih setahun lalu, pihak polis cuma menghubungi saya sekali saja untuk memaklumkan kejadian berkenaan selepas itu tiada sebarang petunjuk lain yang boleh mendakwa pemandu terbabit ke muka pengadilan. “Saya difahamkan pemandu terbabit masih bebas dan tidak dikenakan tindakan. Saya cuma mahukan keadilan lebih telus,” katanyayang mengunjungi pejabat Harian Metro, di sini, semalam.


Johan yang bertugas sebagai pengurus resort di Langkawi, berkata, sekiranya pihak berkuasa masih gagal mendakwa pemandu berkenaan, dia bercadang mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pihak polis memberi alasan mereka tidak mempunyai bukti kukuh mendakwa pemandu berkenaan ke muka pengadilan. Banyak sudut yang boleh diambil kira termasuk kesan brek pada jalan berkenaan menunjukkan pemandu itu merempuh anak saya. “Saya serta dua bapa mangsa lain sudah berjumpa dengan Ketua Cawangan Trafik Langkawi sebelum ini untuk bertanyakan status kes, namun maklum balas yang diterima sangat mengecewakan dan seolah-olah tiada sebarang kemalangan berlaku.

“Saya dan keluarga mangsa yang lain mahu mengetahui kedudukan kes ini dan bukannya bertujuan mempertikaikan kredibiliti pihak berkuasa,” katanya sebak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Harrith Kam Abdullah ketika dihubungi, berkata pihaknya sudah menjelaskan kepada keluarga mangsa bahawa pihak polis tidak boleh mendakwa pemandu terbabit kerana tiada bukti kukuh termasuk saksi kejadian.

“Bagaimanapun, kami menjalankan siasatan ke atas kes berkenaan. “Polis tidak berdiam diri dalam kes ini sebaliknya masih meneruskan siasatan dari pelbagai sudut. “Saya sudah memaklumkan kepada keluarga mangsa terbabit bahawa mereka boleh mendapatkan perkembangan kes berkenaan pada bila-bila masa saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17

www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013071702205120130717022051/Article/index_html
Categories
Uncategorized

Comments

  1. acap08's Avatar
    teruskan menuntut keadilan!!!! Berani Kerana Benar...