Azliza masih mengekalkan harga sama bagi pelbagai kuih yang dijualnya walaupun kos pengeluaran meningkat.
< 1 / 1 >
MACHANG - Lebih 20 tahun berniaga, keuntungan tidak pernah menjadi keutamaan Azliza Mat Adam, namun sebaliknya lebih mementingkan kesetiaan pelanggannya.


Pengusaha kuih dari Kampung Pangkal Changgong itu tetap mengutamakan harga lama sejak lima tahun lalu, walaupun orang ramai heboh bercakap mengenai kenaikan harga barang.


Baginya, selagi tidak membebankan dan merugikan, dia tetap mengekalkan harga lama bagi lebih 10 jenis kuih yang diusahakan dan dijual di Kiosk Mara, di sini.


“Saya usahakan perniagaan kuih ini sejak lebih 20 tahun lalu dan menjadi sumber pendapatan utama keluarga kami. Sekalipun ada orang yang jual dengan harga RM1 bagi tiga biji, saya tekad untuk kekalkan dengan harga RM1 bagi lima biji.


“Lagipun kuih ini saya hasilkan sendiri dengan jumlah yang banyak jadi soal tiada untung atau tidak berbaloi, tak timbul. Selagi saya tidak rasa terbeban, saya akan kekalkan harga ini sampai bila-bila,” katanya yang menghasilkan lebih 1,500 kuih setiap hari, selain turut mengusahakan perniagaan nasi lemak.


Azliza berkata, dia berkongsi perniagaan itu dengan dua rakan lain yang mana turut menawarkan nasi himpit dan nasi lemak dengan harga RM1 sebungkus.


Katanya, selain orang ramai, pengguna tetapnya adalah penjaja ikan, peraih, peniaga kecil termasuk pengusaha kantin sekolah.


Justeru, dia terpaksa berfikir dua kali untuk menaikkan harga memandangkan ia akan membebankan peniaga kecil yang menjadi pelanggan tetapnya.


“Bagi peniaga kecil dan pengusaha kuih yang menghasilkannya dalam kuantiti sedikit, mereka akan terkesan dengan kenaikan harga ini dan kita tidak boleh menuding jari kepada mereka jika menaikkan harga.


“Selepas lebih 20 tahun berniaga, saya bersyukur perniagaan ini bertambah maju dan berhajat untuk mengembangkannya pada masa akan datang,” katanya.


Menyambut baik sikap Azliza, seorang pelanggan, Ismail Hussin berkata, dia menjadi pelanggan tetap gerai kuih itu sejak lebih lima tahun lalu.


Katanya, selain menjual dengan harga murah, Azliza menjual pelbagai jenis kuih yang mana memberi banyak pilihan kepada pelanggan.


Tambahnya, peniaga lain perlu mencontohi peniaga wanita itu bagi mengelakkan orang ramai terutamanya golongan berpendapatan rendah terbeban dengan kenaikan harga barangan.